Sunday, March 22, 2009

ADAT DAN BUDAYA ORANG ASLI ( SIRI 5 )

KAUM KENSIU

1. LATAR BELAKANG

Kensiu adalah suku kaum Orang Asli dari rumpun bangsa Semang-Negrito, yang kini hanya tinggal di perkampungan Orang Asli Lubuk Lenggong, Baling Kedah dan jaraknya lebih kurang 12km dari Bandar Baling. Di samping itu, mereka juga ada pertalian keluarga di Kampung Rai Yala Selatan Thailand. Mereka tinggal semenjak 1957 di Lot No.3623 yang telah diwartakan pada tahun 1958 sebagai Rizab Orang Asli seluas 428 ekar, sebelum itu mereka tinggal berpindah randah dari Ulu Lenggong ke Parit Panjang. Kampung Bendang Man Sik, sungai Celak dan Kampung Tiak Kupang. Ia merupakan kumpulan kaum Negrito yang terkecil dan tertua sekali di Semenanjung Malaysia. Kini terdapat jumlah penduduk seramai 212 orang dan jumlah 44 keluarga (data maklumat dari JHEOA Grik, Perak September 2001). Mereka ini diketuai oleh seorang penghulu bernama Itam bin Daram.

Kawasan penempatan mereka telah dilengkapkan dengan sebuah surau, sebuah dewan serbaguna, tabika dan terdapat 46 buah rumah milik penduduk yang dibina oleh JHEOA dan sebuah rumah milik petugas JAKIM. Penempatan mereka juga dilengkapi dengan bekalan elektrik dan bekalan air masyarakat yang disediakan oleh Jabatan Bekalan Air.

Menurut M.W. Tweedie seorang sejarawan menyatakan dalam bukunya “Pre-History” mereka yang tinggal di Semenanjung dikenali sebagai Negrito dan telah ada sejak tahun 8000 sebelum masihi dan mereka tinggal di dalam gua memburu binatang yang dikenali sebagai zaman batu pertengahan. Terdapat di Kedah di zaman paleolitik dan mesolitik pada tahun 5000 sebelum masihi telah didiami oleh orang Austrinesia yang menjadi nenek moyang orang Negrito, Sakai dan sebagainya. Orang Negrito ini sukar untuk ditentukan sifat-sifat fizikalnya kerana di kalangan mereka terdapat empat sub kumpulan Kensiu yang mereka kenali sebagai Mos, Nakil (atau Dalem), Hetot dan Tanjen. Purata mereka mempunyai rambut yang kerinting halus, berbadan gelap, dan rendah setinggi 5 kaki ke bawah, hidung lebar mata bulat mirip Orang Afrika Timur dan kebanyakan mereka seperti Orang Asli New Guinea yakni Papuans.

Identiti kaum Negrito adalah tersendiri dan boleh dilihat melalui kebudayaan, kebendaan dan kehidupan mereka. Mereka menunjukkan sedikit atau tiada tanda-tanda pertanian. Hal ini adalah kerana mereka ini adalah satu golongan Orang Asli yang nomad sepenuhnya. Bentuk kebudayaan kebendaan mereka termasuk penggunaan dalam mencucuk hidung dan pembinaan kediaman sementara untuk berlindung dari angina dan cuaca. Kaum Negrito mengembara dari setempat ke setempat kerana memburu dan mengumpul bahan makanan dan barang-barang hutan. Mereka akan berpindah ke tempat lain jika didapati tempat itu tidak produktif lagi. Mereka tidak mengamalkan pertanian. Mereka mula bercucuk tanam seperti menanam ubi, padi, pisang dan jagung. Sehingga tahun 2000, jumlah penduduk Kensiu yang menganut agama Islam seramai 118 orang dan selebihnya masih mengekalkan kepercayaan animisme.

2. SISTEM EKONOMI MASYARAKAT KENSIU

Walaupun kerajaan melalui JHEOA telah membina perkampungan dan penempatan kekal dengan projek ekonomi seperti projek Mini estet Lubuk Lenggong I dan II pada tahun 1980 dan 1982 yang dianggarkan jumlah pendapatan sebanyak RM400 sebulan namun minat kaum ini kepada mencari hasil hutan dan memburu binatang amat tebal. Mereka lebih suka mencari rotan, akar kayu, buluh, kayu depu, tumbuh-tumbuhan dan binatang seperti kura-kura, labi-labi, tupai, kera dan lotong dan hasil pencarian ini, meraka jual kepada pekedai Cina di pecan berhampiran.

3. ADAT PERKAHWINAN DAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Konsep kehidupan yang mengutamakan kesamaratan dan kesepadanan ini dicerminkan dalam seluruh aspek kehidupan masyarakat tersebut. Kebanyakan masyarakat Kensiu di perkampungan ini, mempunyai hubungan rapat sesama mereka. Hanya terdapat dua orang sahaja yang berkahwin dengan wanita Melayu dari kampung Baru dan seorang lagi dengan warga Indonesia. Masyarakat Kensiu yang beragama Islam berkahwin mengikut syariat dan undang-undang keluarga Islam.

Pernikahan mereka dijalankan oleh pegawai agama dari Jabatan Agama Islam Negeri Kedah. Manakala bagi yang mengikut fahaman animisme, perkahwinan adalah mengikut kepercayaan mereka. Tiada sebarang upacara diadakan dalam perkahwinan mereka. Apabila tiba masanya di kalangan anak muda yang muda yang mahu berkahwin, mereka cuma perlu mendapatkan persetujuan daripada bakal gadis yang akan dikahwininya, tanpa perlu mendapatkan persetujuan daripada kedua orang tua si gadis. Apabila si gadis bersetuju untuk berkahwin, maka pihak lelaki akan menghantar barangan berupa kain, tembakau dan pisau kepada bapa si gadis sebagai tanda perkahwinan antara mereka akan berlaku. Selepas itu, mereka tinggal sebagai tanda mereka telah berkahwin. Dalam sistem kekeluargaan masyarakat Kensiu, hubungan kekeluargaan adalah bilateral iaitu berdasarkan keturunan kedua ibubapa berdasarkan generasi lelaki.

Dalam hubungan kekeluargaan masyarakat Kensiu, terdapat pantang larang yang masih diamalkan hingga kini di mana menantu perempuan tidak boleh bersua muka begitu juga sebaliknya. Menantu lelaki juga tidak dibenarkan berinteraksi dengan ibu mentua dan bersua muka. Manakala saudara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin tidak dibenarkan berinteraksi dan bersua muka dengan kakak atau abang ipar. Mereka bukan sahaja tidak boleh berinteraksi malahan untuk menyebut nama pun tidak dibenarkan. Mereka menggunakan orang ketiga bagi mewakili diri mereka jika mahu berinteraksi dengan bapa mentua dan ipar-duai. Satu konsep kehidupan tradisi yang masih dikekalkan dalam amalan untuk mengelakkan solidariti adalah melalui hubungan elakan. Dalam hubungan ini seseorang ahli kumpulan cuba mengelakkan daripada bersua muka atau terserempak dengan ipar, mentua atau menantu, terutamanya berlainan jantina.

4. ORGANISASI SOSIAL

Dalam kehidupan tradisi masyarakat Kensiu gabungan lima atau enam buah keluarga asas membentuk sebuah kumpulan. Dalam kebanyakan hal, semua anggota keluarga dalam sesebuah penempatan atau kem mempunyai ikatan persaudaraan yang rapat atau serumpun puak. Satu-satu kumpulan diketuai oleh anggota tertua tetapi tidak mempunyai sebarang gelaran yang khusus. Seseorang ketua kumpulan dipilih berdasarkan faktor umur, pengalaman dan pengetahuan dalam ilmu perbomohan dan kebatinan. Ketua mempunyai kuasa membuat keputusan seperti memilih tapak perkhemahan (penempatan), masa untuk berpindah dan seumpamanya tetapi masih tertakluk pada pandangan dan nasihat anggota kumpulan yang dipimpinnya.

Secara umumnya konsep berketua seolah-olah tidak begitu dipentingkan oleh masyarakat ini di peringkat kumpulan, sebaliknya mereka lebih mengutamakan konsep egalitarian dan solidariti. Elemen penting dalam organisasi sosial adalah keluarga nukleus yang mengandungi suami, isteri dan anak. Bagi masyarakat Negrito yang mengamalkan aktiviti berpindah randah, penempatan mereka lebih dikenali sebagai “kumpulan tabir angin” iaitu masyarakat yang tinggal di bawah atap sebagai tempat berteduh sementara. Kumpulan ini turut membawa anak-anak mereka ke mana saja mereka berpindah randah. Mereka akan mendukung anak kecil ini secara bergilir-gilir. Setiap kumpulan ini mempunyai suami, isteri dan anak-anak, tetapi yang masih kecil sahaja yang tinggal bersama mereka. Bagi anak-anak yang berumur lebih tujuh tahun ke atas akan dibina tempat teduh yang lain tidak jauh dengan keluarga mereka, manakala anak perempuan pula akan tinggal bersama orang tua dan dipisahkan dengan unggun api yang dibuat di tengah tempat tidur mereka. Segala urusan kepimpinan terletak di tangan bapa mereka yang bertindak membuat keputusan dalam hidup ahli keluarga.

Merujuk kepada kaum Kensiu di Baling, organisasi sosial ini telah banyak berubah. Mereka telah tinggal di kampung Lubuk Lenggong dalam tempoh yang lama serta amalan berpindah randah sudah kurang diamalkan. Ini kerana telah dibina penempatan yang kekal oleh JHEOA dan dipantau oleh semua agensi yang berurusan secara langsung dan tidak langsung dengan mereka. Dan organisasi secara berkumpulan telah berubah dan telah diganti dengan perkampungan sebagai unit penempatan di bawah pimpinan ketua yang dipanggil penghulu. Penghulu masih mempunyai persamaan peranan ketua tradisi mereka.

Sistem kepercayaan Masyarakat Kensiu seperti juga masyarakat kaum Negrito yang lain, yang sebahagian besar kepercayaan kepada kepercayaan Kensiu tradisional. Kepercayaan ini menganjurkan lambang seperti Tok Batin, Karei dan Menoi sebagai makhluk berkuasa tinggi. Lambang kuasa ini bersifat kekal dan seiring juga dirujuk kewujudan kuasa yang luar biasa ataupun semangat roh yang dipanggil “orang hidup” atau manusia yang hidup untuk selama-lamanya. Lambang kuasa dan kurang kuasa berada di perantaraan anatara manusia dengan orang hidup dinamakan Cenoi. Di antara lambang kuasa ini, Cenoi Tapn sering menjadi rujukan masyarakat ini dan disamaertikan sebagai Tuhan atau Sultan. Cenoi Tapn bersifat seperti mawas (tawo). Bahagian atas tubuhnya muda manakala bahagian bawahnya tua. Cenoi Tapn dikatakan mengawal kehidupan masyarakat orang Kensiu dan menjemalkan kemarahannya melalui kilat dan petir (Kaei). Sistem ini dipelihara dan dikawal oleh autoriti yang dinamakan Halak yang berperanan sebagai perantara manusia Kensiu dengan lambang kuasa unggul dalam kepercayaan mereka.

5. KEPERCAYAAN

Sistem kepercayaan Masyarakat Kensiu seperti juga masyarakat kaum Negrito yang lain, yang sebahagian besar kepercayaan kepada kepercayaan Kensiu tradisional. Kepercayaan ini menganjurkan lambang seperti Tok Batin, Karei dan Menoi sebagai makhluk berkuasa tinggi. Lambang kuasa ini bersifat kekal dan seiring juga dirujuk kewujudan kuasa yang luar biasa ataupun semangat roh yang dipanggil “orang hidup” atau manusia yang hidup untuk selama-lamanya. Lambang kuasa dan kurang kuasa berada di perantaraan anatara manusia dengan orang hidup dinamakan Cenoi. Di antara lambang kuasa ini, Cenoi Tapn sering menjadi rujukan masyarakat ini dan disamaertikan sebagai Tuhan atau Sultan. Cenoi Tapn bersifat seperti mawas (tawo). Bahagian atas tubuhnya muda manakala bahagian bawahnya tua. Cenoi Tapn dikatakan mengawal kehidupan masyarakat orang Kensiu dan menjemalkan kemarahannya melalui kilat dan petir (Kaei). Sistem ini dipelihara dan dikawal oleh autoriti yang dinamakan Halak yang berperanan sebagai perantara manusia Kensiu dengan lambang kuasa unggul dalam kepercayaan mereka.

Di samping itu, Halak juga berperanan sebagai pengamal perubatan tradisional. Kedua-dua sistem ini, keagamaan dan perubatan terdiri daripada upacara yang dinamakan panoh, yang melibatkan nyanyian dan tarian. Satu lagi ritual yang diadakan untuk tujuan sama dinamakan sawan, yang juga menggabungkan nyanyian dan tarian. Pengabdian serta ketaatan kepada kedua-dua sistem turut dicerminkan melalui sikap menghormati, pantang larang, nilai dan norma masyarakat. Masyarakat Kensiu juga mempunyai orang penting yang dianggap pakar dalam hal kepercayaan yang dipanggil “Halak” atau tok pawang. Mereka mampu memasuki dunia semangat roh ini dengan mengkhayalkan diri, selepas mereka tidak sedarkan diri dalam keadaan yang khayal. Tok Pawang ini dipercayai dapat berhubung dengan “Chinoi” dan adakalanya menjadi pengantara pertolongan semangat ini dalam pertanian mereka. Namun begitu hampir separuh daripada masyarakat Kensiu di Kampung Lubuk Lenggong telah memeluk Islam.

ADAT DAN BUDAYA ORANG ASLI ( SIRI 4 )

KAUM LANOH

1. PENGENALAN

Lanoh, suku kaum orang Asli daripada rumpun bangsa Semang-Negrito. Masyarakat ini turut dikenali sebagai Lano dan Sabubn tetapi nama Sabubn sudah tidak digunakan.Petempatan mereka bertaburan di utara negeri Perak khususnya di Daerah Lenggong. Amalan berpindah randah kadangkala membawa memasuki wilayah suku kaum lain. Wilayah Lanoh dikelilingi wilayah Kintak di utara, wilayah Jahai di Timur dan wilayah Temiar di Tenggara.

Dari sudut lingustik dan budaya, orang Lanoh paling hamper kepada suku kaum Kensiu dan Kintak. Malah ada pengkaji yang menganggap ketiga-tiga masyarakat ini sebagai sebuah masyarakat yang sama. Ditinjau secara khusus, masyarakat Lanoh dari segi ras (bangsa) dan budaya merupakan Negrito tetapi dari segi bahasa mereka hanya menggunakan bahasa Temiar.

Sistem social keluarga asas merupakan unit yang memastikan kesinambungan dari segi kewujudan dan kelangsungan hidup masyarakat ini. Keluarga asas bertanggungjawab memasyarakatkan anak sebagai ‘ahli masyarakat yang baru’ dengan nilai dan budaya Lanoh. Ahli baru ini diajar dan diterapkan dengan nilai-nilai menghormati orang tua, tidak melakukan perkara yang dilarang, menerima tanggungjawab perkongsian dalam kegiatan harian kelompok, menghormati pantang larang dan berpegang teguh pada kepercayaan Lanoh.


2. PERKAHWINAN

Perkahwinan kebiasaannya berdasarkan suka sama suka antara pasangan. Mereka memilih pasangan sendiri tanpa melibatkan ibu bapa ataupun keluarga terdekat dengan membina tempat tinggal bersama, pasangan sudah memadai digelar suami isteri. Tiada kenduri-kendara dilangsungkan, hanya si suami memberi sedikit hadiah kepada si isteri dan mertua. Bagi si isteri pula membalas pemberian hanya kepada si suami. Kebiasaannya perceraian akan berlaku di awal perkahwinan dan pasangan remaja akan cuba mencari sehingga mendapat pasangan sejati. Jarang pula berlaku perceraian apabila pasangan mendapat anak.

Keluarga asas penting sebagai sebuah unit ekonomi. Keluarga asas pula merupakan sebuah kumpulan kerja dan menampakkan sedikit pembahagian tugas antara lelaki dan wanita. Bapa akan dibantu oleh anak lelakinya yang dewasa untuk memastikan keluarga asas mereka sentiasa mempunyai bekalan daging dan makanan yang mencukupi. Manakala ibu dibantu oleh anak perempuannya memungut buah-buahan hutan dan sayur-sayuran. Hasil yang diperolehi daripada kegiatan memburu dan memungut hasil hutan ini biasanya tidak dikongsi dengan ahli keluarga (puak) lain. Hasil tersebut menjadi hak keluarga asas kecuali ada lebihan, barulah diagih-agihkan.

Suami dalam apa jua atau ruang tetap menjadi ketua keluarga asas. Isteri akan mengganti tampuk sebagai ketua sekiranyan suami meninggal dunia. Memandangkan dalam sesetengah hal, keluarga asas turut merupakan unit keagamaan, maka suami berperanan besar memastikan pantang larang tidak dilanggar.


3. IBU MENGANDUNG/KELAHIRAN BAYI


Ibu yang sudah harus berpantang dengan tidak boleh turun memijak tanah selama dua minggu. Selama dua ke tiga bulan makanan untuk ibu tidak boleh ditambah garam. Makanan yang menggunakan minyak juga pantang dimakan.


4. KEMATIAN

Apabila berlaku kematian, berita tersebut akan disebarkan kepada penghulu dan kaum keluarga terdekat. Mayat akan dimandikan dan dibersihkan. Mayat wanita akan dihiaskan dengan barang kemas seperti cincin, gelang dan rantai. Kemudian dibalut dengan kain batik yang baru dan seterusnya digulung dengan tikar dan diikat dengan kuat. Mayat lelaki pula dibalut dengan kain pelikat sebelum digulung dengan tikar. Di tanah perkuburan, liang digali lebih kurang sedalam 2 meter. Semua harta kepunyaan simati akan ditanam bersama-sama mayat. Setelah dikambus, 2 batang kayu sebagai tanda dipacakkan sebagai tanda kepala dan kaki simati. Di bahagian kepala kubur dinyalakan api supaya dapat menghalang binatang buas seperti harimau dan babi merosakkan kubur. Jika suami meninggal dunia, si isteri tidak boleh bersolek selama 7 hari. Pada hari pertama diadakan kenduri untuk menjamu roh. Kenduri juga diadakan pada hari ketujuh untuk roh simati pulang terus ke alam ghaib.


4. KEPERCAYAAN

Orang Lanoh berpegang pada sistem kepercayaan animisme. Perasaan takut kepada hantu umpamanya merupakan satu cirri dalam kepercayaan animisme. Namun masyarakat ini turut mempercayai tuhan sebagai lambang kuasa yang unggul. Sistem kepercayaan dikawal dan dipelihara oleh autoriti yang bergelar Halak. Di samping menagani hal ehwal ‘keagamaan’, ‘Halak’ turut berperanan sebagai pengamal perubatan tradisional Lanoh.


5. STATUS EKONOMI

Gabungan beberapa keluarga asas (biasanya tidak melebihi 10 keluarga asas) yang mempunyai pertalian darah atau bersaudara membentuk sebuah puak. Puak diketuai oleh seorang ketua tetapi tidak mempunyai sebarang gelaran. Ketua puak biasanya terdiri daripada anggota puak tertua, berpengalaman luas dan memiliki pengetahuan mendalam tentang ilmu kebatinan dan perubatan tradisional Lanoh.

Tanggungjawab utama seseorang ketua tidak hanya terbatas sebagai pembuat keputusan dalam hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi seperti jenis kegiatan ekonomi yang harus dijalankan dalam sesuatu masa atau musim, menetapkan masa untuk membuat rumah dan berpindah dan seumpamanya, tetapi juga untuk memelihara peraturan sosial seperti usaha menjatuhkan hukuman atas kesalahan yang bersifat jenayah.

Orang Lanoh hari ini telah menerima perubahan yang dianjurkan oleh kerajaan dengan baik. Pada masa ini kerajaan mewajibkan masyarakat ini tinggal secara kekal di perkampungan dan dalam Rancangan Penempatan Semula yang dibangunkan oleh kerajaan. Di kawasan penempatan baru ini, ketua orang Lanoh bergelar Penghulu, satu sistem yang dianjurkan oleh kerajaan. Penghulu dilantik di kalangan anggota yang ‘berpendidikan dan berpengalaman dalam pengaulan luar’. Dia berperanan sebagai orang perantaraan di antara penduduk kampung dengan orang luar, terutamananya kerajaan. Orang Lanoh telah menerima baik system pertanian kekal yang dianjurkan oleh kerajaan. Terdapat juga pertanian kekal ini secara persendirian. Selain itu, mereka terlibat dalam kegiatan ekonomi moden, khususnya dalam sektor makan gaji.

Namun dalam satu perkembangan lain, semakin ramai orang Lanoh diasimilasikan ke dalam suku kaum Orang Asli yang lain seperti Temiar. Fenomena ini berpunca daripada perkahwinan campur dan kedua, akibat sistem petempatan kekal. Dalam satu rancangan kekal umpamanya di Kampung Grik, beberapa keluarga Lanoh telah ditempatkan bersama-sama majoriti orang Temiar. Dalam jangka panjang, masyarakat ini akan terserap dalam masyarakat Temiar. Mereka menggunakan bahasa Temiar walaupun bercakap sesame orang Lanoh sendiri. Fenomena ini secara tidak langsung sebenarnya menunjukkan sifat positif dan kepekaan masyarakat terhadap pembangunan dan perkembangan alam sekeliling mereka.

ADAT DAN BUDAYA ORANG ASLI ( SIRI 3 )

KAUM TEMIAR

1. PENGENALAN

Pemilihan penempatan suku Bangsa Temiar di sesuatu tempat ditentukan oleh penghulu. Ini dilakukan dengan cara 'berhalaq(jampi) atau mimipi. Tempat yang hendak didiami jauh dari tanah perkuburan, bebas daripada adanya kayu keras seperti "merbau" dan sebagainya. Mereka juga tidak membuat penempatan di kawasan berpaya(takungan air) kerana ditakuti berpenunggu. Begitu juga kawasan air terjun dan sungai besar juga tidak sesuai kerana ditakuti ada puteri sungai/lata yang akan mengganggu. Mereka membina rumah daripada kayu (selain daripada kayu jenis keras) secara bergotong-royong. Di peringkat awal penempatan, mereka membina rumah panjang. Setelah beberapa lama tinggal di rumah panjang itu, barulah mereka berpindah dengan keluarga masing-masing dan membina rumah sendiri. Mereka menyara keluarga dengan bercucuk tanam, berburu dan mencari tumbuh-tumbuh hutan.


2. SOSIO-BUDAYA

2.1 PERLANTIKAN

Jawatan Penghulu diwarisi mengikut keturunan. Penghulu biasa mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan pemilihannya dibuat melalui mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja Kampung(JKKK).


2.2 KUASA PENGHULU

Kuasa Penghulu terikat dengan adat resam dan pantang larang suku kaumnya. Beliau berkuasa mengarahkan anak-anak buahnya untuk bergotong-royong menjalankan aktiviti kampung serta merestui perkahwinan. Beliau juga bermain peranan sebagai hakim, penasihat dan penghubung dengan masyarakat dengan agensi luar. Penghulu juga mempunyai kebolehan sebagai bomoh tradisional(Halaq). Perpecahan kuasa Penghulu boleh berlaku sekiranya ada di antara keluarga yang tidak bersetuju dengan kepimpinannya. Kuasa Penghulu juga akan gugur jika beliau mengasingkan diri dengan berpindah ke pertempatan baru.


3. KEKELUARGAAN

3.1 PERKAHWINAN

(i) Adat Menunggu (Meyakinkan bakal mertua)

Bakal menantu lelaki perlu dapat meyakinkan mertua akan kewibawaannya dengan menawarkan diri untuk menguruskan kerja-kerja seharian. Ini bererti beliau mempunyai kesanggupan menanggung bakal keluarganya. Adat ini dikenali sebagai "Adat Menunggu".

(ii) Merisik

Kedua-dua belah pihak mengadakan perbincangan dan mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua pasangan. Kemudian kedua-dua pihak berjumpa Penghulu untuk mendapatkan restu dan seterusnya menetapkan tarikh perkahwinan. Majlis perkahwinan diadakan pada waktu malam. Kedua-dua pihak membawa pengiring daripada ahli keluarga masing-masing. Pihak perempuan menyediakan sebuah bilik khas bagi kedua-dua pengantin tidur bersama. Pengiring akan memerhatikan gerak laku pengantin baru dan akan melaporkan kepada kedua belah pihak. Majlis jamuan akan diadakan pada malam kedua. Pada malam itu juga mereka membakar kemenyan dan menabur bertih agar rumahtangga yang dibina sentiasa bahagia dan dijauhi daripada penyakit serta perkahwinan ini juga direstui oleh penduduk kampung. Majlis ini kebiasaannya akan diikuti dengan tarian sewang di dewan / tempat khas yang disediakan.


3.2 Kelahiran

Semasa isteri sedang mengandung kedua pasangan terpaksa mematuhi beberapa pantang larang seperti berikut:

* Suami tidak memegang alat menangkap ikan kerana dikhuatiri bayi yang dilahirkan itu nanti terlekat uri.
* Tidak boleh memancing ikan kerana dipercayai tali pusat bayi akan putus semasa bersalin.
* Memotong buluh/tebu mesti mengikut ruas untuk mengelakan bayi dalam kandungan dalam keadaan songsang.
* Tidak boleh makan kijang, ayam hutan dan ikan yang mempunyai sengat ditakuti bayi terkena 'kenan' dan menghidap sakit 'sabat'(sawan).
* Tidak boleh makan buruan yang telah ditembak kerana dipercayai kandungan akan gugur.

Ibu ditempatkan di sebuah bilik khas (biasanya di bahagian dapur). Tempat tidur disediakan dalam kedudukan condong 20 darjah untuk memudahkan ibu bersalin. Suami dan saudara-mara terdekat(perempuan) boleh turut sama duduk di sisi. Tok Bomoh dan Bidan dipanggil untuk menjampi dan membantu ibu bersalin. Mereka ini memainkan peranan sebagai 'tuhad' (penyelamat). Bidan akan menolong dan mengurut ibu sehingga bayi dilahirkan. Bidan akan balik setelah ibu 'buka pantang' iaitu seminggu selepas bayi dilahirkan. Uri bayi akan digantung di pokok dipercayai tiada gangguan.


3.3 Pantang Selepas Bersalin

Selepas bersalin ibu dan bidan akan berpantang selama seminggu. Mereka tidak boleh makan semua jenis binatang dan garam. Begitu juga kepada suami jika dia menyentuh bayi tersebut ketika dilahirkan.

Untuk mengadakan majlis ini persiapan kenduri disediakan oleh kedua pihak keluarga. Ibu dan bidan akan dihidangkan dengan makanan khas yang berlainan dari tetamu. 'Tuhad', ibubapa, mertua dan bidan akan berbincang untuk memberi nama bayi.


4. ADAT ISTIADAT

4.1 Sewang

Sewang adalah upacara menurun untuk mendapatkan ilham. Senikat lagu sewang diperolehi oleh Tok Halaq melalui mimpi. Upacara ini dilakukan pada malam hari dan berjalan selama 3 hingga 7 hari berturut-turut bergantung kepada makanan yang ada. Mereka menari dengan cara bergerak sekeliling penetas secara berpusing. Terdapat dua jenis sewang iaitu Sewang Pantang dan Sewang Umum. Setiap sewang memakan masa selama 15 minit yang dijalankan oleh 'Juru Sewang'. Juru Sewang akan berdendang hingga tidak sedarkan diri (pengsan). Mereka akan dipulihkan oleh Tok Halaq.


4.2 Sewang Kelahiran

Upacara Sewang Kelahiran dilakukan dengan memuja bayi dengan harapan bayi tersebut mendapat kebaikan apabila dewasa kelak. Bayi dijamu dengan bertih padi/jagung dan diletakan bau-bauan supaya kehidupan bayi sentiasa harmoni dan aman damai.


4.3 Sewang Kematian

Upacara ini dimulakan oleh Tok Halaq dengan membuka pantang melalui nyanyian(gabak) iaitu memuja roh simati sambil mengetuk buluh centong dengan kedudukan ruasnya ke bawah. Dalam upacara ini hanya kaum keluarga yang terdekat dibenarkan bersewang bersama Tok Halaq. Selepas upacara buka pantang selesai barulah majlis sewang dibuka kepada tetamu/orang ramai. Sewang Kematian diadakan selepas tamat tempoh berkabung (selepas 40 hari) selama 3 hingga 4 malam berturut-turut bergantung kepada bekalan makanan.


4.4 Sewang sebelum dan selepas membuka pantang

Ia dimulakan dengan nyanyian Tok Halaq memohon agar tanaman mereka mengeluarkan hasil yang memuaskan.Selepas menuai diadakan pula sewang tanda kesyukuran kerana hasil padi yang memuaskan dan terus bertambah pada tahun hadapan.


4.5 Sewang Berubat

Tok Halaq akan bersewang untuk memohon daripada penunggu supaya menyembuhkan penyakit. Pesakit terpaksa mematuhi beberapa pantang-larang yang telah ditetapkan oleh Tok Halaq.


5. BAHAN PERUBATAN

Suku Kaum Temiar masih mengamalkan perubatan tradisional dengan menggunakan akar dan tumbuh-tumbuhan berikut sebagai bahannya:

* Akar Tongkat Ali
* Kacip Fatimah
* Tunjuk Langit
* Bunga Pakma
* Pokok Dukung Anak
* Pokok Gajah Beranak
* Rempah
* Pisang Hutan
* Kulat Susu Harimau
* Akar Sempelas


6. KEPERCAYAAN

6.1 Karei / Engku

Ia dipercayai makhluk yang besar dan berkuasa yang tinggal di angkasa Karei akan marah dengan menurunkan bala jika mereka melanggar pantang dan melakukan perbuatan keji.


6.2 Penunggu

Masyarakat Temiar percaya, tempat seperti lubuk, lata, teluk, gua, bukit dan gunung ada penunggunya maka ia harus dihindari dan tidak diganggu. Mereka dilarang menegur atau berkata sesuatu di tempat tersebut krana ia akan disampuk oleh penunggu terutama bagi mereka yang lemah semangat.


6.3 Kayu Merbau

Mereka percaya bahawa teras kayu merbau boleh memanah dan kemungkinan terkena sesiapa sahaja yang lalu di situ. Terutama pada waktu subuh, senja dan ketika hujan panas serta ada pula pelangi.


6.4 Pantang Harimau

Pertemuan di antara dua orang yang telah berjanji untuk bertemu harus ditunaikan.Jika salah seorang mungkir janji, dipercayai 'Jelmaan harimau' akan datang mengganggu orang itu.


6.5 Bunga Pakma

Bunga Pakma tidak boleh dipetik kecuali "Tok Halaq". Jika terjatuh dan bergolek ketika membawanya, dipercayai ia boleh bertukar menjadi harimau (ruai).


6.6 Buah-buah Hutan

Buah Perah dan buah-buahan lain di dalam hutan hendaklah dipetik dalam sesuatu musim dengan satu upacara bergotong-royong untuk dibuat kenduri. Selepas itu baru ia boleh diambil. Jika mereka melanggar pantang berkenaan dipercayai 'ruai' buah-buahan akan mengarahkan harimau mengganggu orang lain.


6.7 Kempunan (Selantap)

Suku kaum Temiar juga percaya jika sesuatu keinginan/niat tidak tercapai maka mereka akan kempunan. Kempunan bermakna mereka akan ditimpa bala/kesusahan.


6.8 Suara Burung

Apabila burung 'Chiap Chereyet' berbunyi, ini bermakna menegur roh simati yang sedang berkeliaran. Sesiapa yang mendengar bunyi ini hendaklah mengasap badan dengan asap supaya 'badi' tidak mengganggu atau merasuk keluarga mereka.


7. AMALAN SOSIAL

7.1 Bertandang

* Tetamu hendaklah pasti ada orang dirumah sebelum bertandang. Tanpa memakai kasut tetamu boleh naik ke rumah setelah dijemput.
* Tetamu mesti menegur ketua rumah terlebih dahulu dan bertanyakan khabar.
* Tetamu selalunya menghadiahkan sesuatu kepada ketua rumah seperti rokok atau tembakau.
* Tetamu akan minta diri untuk balik dan bertanyakan pesanan untuk dibawa kepada penghulunya (jika tetamu dari kampung lain).


7.2 Adab Bercakap Dengan Mertua

Menantu lelaki tidak boleh bertentang mata dengan ibu mertua dan menantu perempuan tidak boleh bertentang mata dengan bapa mertua semasa bercakap. Mereka boleh bercakap melalui orang tengah (Orang Perantaraan).


8. ALAT MUZIK TRADISIONAL

Alat muzik tradisonal masih digunakan dalam majlis sewang dan untuk hiburan . Di antara alat muzik tradisonal mereka ialah:
* Siol(Seruling Buruh)
* Gooh(Buluh Centong)
* Genggong (Ranggot)
* Bateq(Gendang)
* Kerep(Guitar Buluh)


9. KEMATIAN

Apabila berlaku kematian, Tok Halaq akan megesahkan kematian tersebut. Berita kematian akan diberitahu kepada penghulu dan seterusnya kaum keluarga terdekat. Mayat tidak boleh dimandikan atau dibersihkan. Ia dipakaikan pakaian baru dan diselimutkan dengan kain baru, kemudian digulung dengan tikar baru dan diikat.Selepas itu, ia diletakkan di atas pengandar(usungan) yang dibuat dari buluh cincang.Sebelum mayat dikebumikan, unggun api dinyalakan di bahagian kaki atau kepala simati untuk mengelakkan roh simati mengganggu ahli keluarganya.Nyanyian 'Chinchemm'(lagu sedih) dinyanyikan semasa mengiringi mayat ke tanah perkuburan. Tanah perkuburan biasanya terletak di seberang sungai untuk mengelakkan hantu yang membawa kematian, balik. Liang dikorek lebih kurang sedalam dua meter. Semua harta kepunyaan simati akan ditanam bersama-sam mayat sementara barang-barang lama dan rumahnya dibakar. Sekiranya 'Tok Halaq' meninggal dunia, mayatnya tidak terus ditanam sebaliknya diletakkan di dalam bilik khas di rumahnya. Kaum keluarganya akan menyalakan unggun api di bawah rumah tersebut selama tujuh hari untuk mengelakkan mayat daripada diganggu oleh binatang buas. Kaum keluarga akan berpindah ke tempat baru. Dalam tempoh berkabung selama 40 hari semua aktiviti dalam bentuk hiburan diharamkam.Setelah selesai berkabung barulah majlis kenduri diadakan.


9.1 Acara Buka Pantang Kematian

Setelah tamat tempoh pantang selama 40 hari, diadakan pula 'Acara buka Pantang Kematian'. Tiga hari sebelum upacara ini dijalankan, Kauam keluarga dijemput berkumpul semula dengan tujuan untuk mengumpulkan bahn makanan bagi majlis kenduri. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama menguruskan penyediaan makanan dan kumpulan kedua menyediakan tempat bersewang. Tempat sewang akan dihias dengan pucuk 'calon' buah kepala (palas) untuk dijadikan seludang palas(Tempok Kuar) dan bunga.

ADAT DAN BUDAYA ORANG ASLI ( SIRI 2 )

KAUM KINTAK

1. LATAR BELAKANG

Kintak merupakan satu di antara dua rumpun bangsa Orang Asli daripada suku kaum Negrito atau asalnya dikenali sebagai Semang oleh beberapa penulis terdahulu. Kintak juga dikenali sebagai Tak, Kentok, dan Kintok. Mereka secara khususnya terbahagi kepada beberapa subkumpulan, anatara yang dikenal pasti adalah Kintak Bong dan Kintak Nakil.

Seperti rumpun bangsa Negrito yang lain, secara fizikalnya kaum lelaki dan wanita Kintak juga bertubuh rendah (anggaran lelaki 150 cm dan wanita 140 cm) dan kecil tetapi gempal. Berkulit perang gelap, kadangkala terdapat yang berkulit gelap atau perang kemerah-merahan, malahan ada yang hitam berkilat. Berambut kerinting halus, pendek (lelaki tidak melebihi 3 inci dan wanita antara 9 inci hingga 1 kaki) dan berwarna gelap atau perang kemerah-merahan. Berdahi rendah dan bulat. Berhidung pendek, rata dan kembang. Bertulang pipi agak luas dengan anak mata berwarna perang gelap atau hitam. Berdagu kecil dan bulat. Bermulut agak luas dan berbibir sederhana tebal.

1.1. LOKASI (KAMPUNG)

Orang Kintak sejak dahulukala tinggal di pinggir-pinggir hutan berhampiran dengan penempatan masyarakat Melayu atau Siam. Biasanya mereka memilih kawasan pamah berhampiran dengan sungai yang masih kaya dengan spesis-spesis tumbuhan, haiwan buruan serta ikan yang menjadi sumber makanan dan ekonomi mereka.Walaupun mereka diberitakan pernah tinggal bertaburan di utara Semenanjung, khususnya dalam wilayah dari Sungai Kerumi di Utara Grik memanjang di Simpang Empat di Baling dan melebar ke bahagian sisi garisan ini sehingga ke Air Panas di Keroh. Tetapi kini terdapat hanya sebuah penempatan tetap masyarakat ini di Semenanjung Malaysia.Penempatan yang dimaksudkan ialah Kampung Bukit Asu di Grik dalam daerah Hulu Perak, Perak Darul Ridzuan. Kampung ini kini boleh dihubungi dengan semua jenis kenderaan darat, kecuali kenderaan pacuan empat roda diperlukan dalam keadaan-keadaan tertentu. Ianya terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Grik menghala ke bandar Keroh, 20 kilometer melalui jalan utama hingga ke persimpangan lombong lama di Kelian Intan dan 5 kilometer melalui jalan tanah merah dari simpang berkenaan. Kampung ini berjiran dengan penempatan masyarakat Melayu di utara dan penempatan masyarakat Siam di selatan.

1.2 ASAL-USUL

Memandangkan wilayah kehidupan mereka terlau jauh hingga ke wilayah Chaiya di selatan Thailand, para pengkaji mempercayai bahawa masyarakat Kintak mempunyai pertalian dengan orang Negrito di Kepulauan Andaman, kaum Aetas di Filipina. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi berasaskan bentuk fizikal dan dialek mereka.Temubual dengan pembantu penghulu, Din bin Dahan serta beberapa penduduk kampung mendakwa bahawa mereka berasal dari Betong di selatan Thailand, kemudiannya berpindah ke Kubang Semang di Keroh sebelum menetap di kampung sekarang. Mereka juga mendakwa bahawa generasi tua mereka sebelum ini, termasuk penghulu mereka sekarang Penghulu Alipon bin Saad pernah bersekolah dan sering berulang-alik ke Betong. Malah terdapat di kalangan masyarakat ini mahir bertutur dalam dialek Siam.

2. SOSIO-BUDAYA

Masyarakat Kintak pengamal sistem keluarga nuklear atau sekelamin. Setiap keluarga ini mempunyai rumah sendiri. Keluarga mereka terdiri suami, isteri dan anak. Keluarga nuklear diketuai oleh suami yang berkuasa dalam membuat keputusan. Namun kuasa membuat keputusan tersebut tidak mutlak kerana suami harus mengambil kira nasihat dan pandangan isteri dan ibu atau bapa, atau mentua yang tinggal bersama mereka.

2.1 ADAT PERKAHWINAN

Di kalangan suku kaum Negrito termasuk masyarakat Kintak adat perkahwinan mereka terlalu mudah. Tidak diatur secara rasmi dan tidak diraikan. Kahwin kepada mereka memadai dengan kedua-dua pasangan membina tempat perlindungan dan tidur bersama. Ini tidak bermakna mereka mengamalkan bebas seks.Biasanya perkahwinan mereka berasaskan pilihan sendiri atau dasar suka sama suka. Perkahwinan atas pilihan keluarga amat kurang berlaku. Sering juga berlaku penceraian dan berkahwin semula dengan orang lain. Penceraian jarang berlaku selepas pasangan memperolehi anak.

2.2 ADAT KEMATIAN

Biasanya apabila berlaku kematian, sanak-saudara simati yang jauh dan dekat, penghulu serta penduduk kampung akan diberitahu. Penghulu sebagai ketua adat akan mengatur kerja-kerja pengurusan mayat dan upacara pengebumian. Bagi menghormati simati, segala kegiatan harian masyarkat pada hari berkenaan terpaksa ditangguhkan. Larangann ini jika dingkari dipercayai roh simati akan marah dan akibatnya akan ditimpa malapetaka. Mayat biasanya tidak dikebumikan pada hari kematian, kerana ingin memberi peluang kepada saudara mara simati yang jauh, hadir untuk memberi penghormatan terakhir. Pada malamnya, dirumah simati sanak saudara dan penduduk kampung akan bergilir-gilir akan menjaga mayat sehingga keesokan harinya, tujuannya bagi mengelakan mayat manusia tersebut diganggu oleh hantu. Mayat juga ditegah diumpat keji serta dilangkah oleh manusia dan binatang kerana dikhuatiri mayat tersebut akan bangkit dan mengganggu penduduk kampung.Pada keesokan harinya, di tanah perkuburan kerja-kerja menggali lubang kubur dan mencincang buluh dijalankan. Sementara itu dirumah, mayat dimandikan. Kemudian dipakaikan pakaian yang lengkap, seterusnya kedua-dua belah tangan dan kaki dibengkokkan atau dilipat ke arah hadapan badan sehingga bahagian jari-jemari tangannya berada betul-betul dibawah dagu dan kepala lututnya mencecah dada. Akhir sekali mayat dibungkus dengan kain batik lepas yang baru dan diikat kemas supaya senag diusung ke kubur.Bagi mengelakkan gangguan binatang dan sebagainya, mayat biasanya ditanam sedalam empat atau lima kaki serta mempunyai lahad. Mayat akan diletakkan dalam dan kemudian lahad ditutup dengan buluh cincang terlebih dahulu sebelum dikambus. Di atas kubur, pondok pisang sesikat dibina untuk menaunginya.Sebagai tanda sepasang kayu yang telah dijampi oleh Tok Bomoh dipacakkan di bahagian kepala dan kaki kubur berkenaan. Segala barang-barang kesayangan simati diletakan di atas kubur. Bagi mengingati simati serta mempercayai roh simati juga memerlukan makanan dan rokok (jika simati hayatnya merokok) juga diletakkan bersama. Sebelum meninggalkan kubur, bapa dan simati akan meninggalkan pesanan-pesanan yang baik kepada simati. Kenduri kecil akan diadakan pada malam berkenaan. Tujuh hari selepas itu kenduri berserta sewang secara sederhana pula diadakan. Kedua-dua kenduri tersebut bertujuan menjamu simati. Pada hari keempat puluh, kenduri dan sewang secara besar-besaran akan diadakan, tujuannya selain untuk menjamu simati juaga menandakantamat tempoh berpantang bagi seluruh penduduk kampung berkenaan. Pasangan simati dan keluarganya dilarang berhias dan bersukaria dalam tempoh berpantang selama empat puluh hari. Manakala penduduk kampung hanya dilarang bersukaria dalam tempoh tersebut.

2.3 ADAT KELAHIRAN

Dalam mempastikan ibu yang sedang mengandung sentiasa dalam keadaan sihat, untuk mengelakan komplikasi kepada si ibu semasa melahirkan dan bagi menjamin anak dilahirkan sihat serta sempurna sifatnya berbagai-bagai pantang larang serata pemilihan makanan yang sesuai yang perlu dipatuhi oleh pasangan suami isteri, sama ada sepanjang tempoh mengandung mahupun selepas bersalin.

2.3.1 SEMASA MENGANDUNG

* Pantang yang dikenakan kepada isteri:-

Pantang/Tak boleh

Akibat /Dipercayai

1. Makan pucuk paku
2. Makan pucuk labu

Kandungan dan bayi lemah

Makan ikan yang dipancing

Bibir bayi sumbing

1. Makan ikan yang berduri
2. Makan binatang bertanduk

Lekat atau susah bersalin

Makan ubi sebelum kandungan berusia tiga bulan

Kaki dan tangan menyerupai ubi




* Pantang yang dikenakan kepada suami:-

Pantang/Tak boleh

Akibat /Dipercayai

1. Panggang ikan perut di bawah
2. Panggang ikan suling-paling

Takut bayi menyongsang

Menjaring atau menjala ikan

Lekat atau susah bersalin

Memancing ikan

Bibir bayi sumbing




2.4 PERAYAAN

Tidak banyak perayaan dalam masyarakat Kintak, lantaran daripada amalan berpindah-randah yang mereka amalkan.Antara perayaan tahunan yang diraikan adalah seperti berikut:-

2.4.1 Musim Buah-buahan

Perayaaan ini diadakan apabila buah-buahan hutan telah masak. Kaum lelaki akan keluar beramai-ramai untuk mengumpul buah-buahan seperti tampoi, larah, rambutam, durian dan sebagainya dibawa pulang. Pada malamnya didakan majlis bersewang sambil menikmati buah-buahan serta makanan yang disediakan oleh kaum wanita.


2.4.2 Musim Menuai Padi

Perayaan ini biasanya diadakan sebaik sahaja kerja-kerja menuai padi.Apabila tiba hari yang telah ditetapkan kaum lelaki akan keluar beramai-ramai.Pada malamnya upacara sewang akan diadakan.Tok bomoh menjalankan jampi-serapah seraya memohon kepada penunggu kawasan agar hasil padi mereka akan bertambah pada musim-musim akan datang. Selepas menjamu selera dengan masakan mereka sendiri sediakan , mereka bersukaria hingga menjelang pagi.


3. PANTANG LARANG

3.1 Kepercayaan

Seperti kepercayaan suku kaum Negrito yang lain, secara tradisinya masyarakat Kintak juga menonjolkan lambang kuasa Tok Batin , Karei dan Cenoi. Mereka terlalu menghormati, patuh dan takut kepada ketiga-tiga lantaran kuasa mereka miliki dipercayai terlalu tinggi , luar biasa dan sifat kekal.Cenoi mempunyai kelebihan sihir dan pakar dalam kesegala kebaikan. Ia sering dirujuk oleh masyarakat dan disama tarafkan seperti tuhan atau sultan. Fungsinya mengawal masyarakat dan kemarahannya akan dijelmakan melaui petir dan kilat.


4. AMALAN KESIHATAN/PERUBATAN

Walaupun masyarakat Kintak telah menerima perubatan moden, namun kaedah perubatan tradisional seperti penggunaan khidmat bomoh serta pengambilan herba bagi mengubat penyakit-penyakit serta sebagai amalan kesihatan mereka masih dipraktikkan secara meluas.


4.1 PEMAKANAN

Mamandangkan hampir tidak wujud sebarang bentuk pertanian dalam kehidupan masyarakat ini, maka mereka juga menjadikan ubi-ubi liar seperti ubi pandang, ubi kepala gajah, ubi tanjung, ubi garam, ubi kapur dan beberapa jenis ubi lain sebagai sumber makanan harian. Protein diperolehhi daripada binatang buruan dan ikan. Mereka juga mendapatkan buah-buahan , umbat dan sayur-sayuran hutan bagi sumber vitamin. Disamping itu mereka juga mengamalkan pengambilan herba-herba tertentu untuk meningkatkan kesihatan dan sumber tenaga.


4.2 KAEDAH RAWATAN

Disamping perubatan moden, mereka juga menggunakan khidmat bomoh serta berbagai jenis herba sebagai kaedah alternatif. Antaranya adalah seperti berikut:-

Penyakit

Kaedah Rawatan

Kayap

Dijampi

Sakit kepala

Kulit tepus dilayur pada api dan dililit di kepala.

Luka

Daun kapalterbang digesek dengan tangan hingga
hancur, dipupuk atau disapu pada tempat yang sakit.

Kurap/panau

Akar lada direbus dan diminum.

Berdarah hidung

Daun sirih atau cawi digulung berbentuk kon dan
disumbatkan ke lubang hidung.

Bisul

Daun misai kucing dicelur dan ditempek pada
bisul untuk tarik nanah.

Kudis Buta

Sejenis akar berduri dibuang kulit luar dan dalam,
ditumbuk dan digosok pada kudis.

Patah terseliuh

Dijampi dan diikat dengan anduh buluh.




5. STATUS EKONOMI

Secara tradisinya, orang kintak juga seperti rumpum bangsa lain dalam suku kaum Negrito. Mereka merupakan pemburu dan pengumpul makanan. Kehidupan mereka amat bergantung kepada hasil hutan belantara seperti buah-buahan, ubi-ubi liar, keladi, tumbuh-tumbuhan binatang buruan dan ikan sebagai sumber makanan.Disamping itu mereka juga mengumpul hasil-hasil hutan sperti rotan, gaharu, herba ubatan tradisional dan sebahagiannya untuk dijual.Hanya sebilangan kecil di antara mereka mengusahakan tanah untuk aktiviti pertanian.


5.1 PEKERJAAN

Kesan kepesatan pembangunan negara turut dirasai dan sekaligus mengancam kehidupan dan menggugat ekonomi masyarakat ini walaupun mereka tinggal agak jauh di pedalaman . Bilamana penerokaan hutan untuk projek-projek tadahan air, hidro-elektrik, pembinaan lebuhraya, perusahaan pembalakan dan sebagainya menyebabkan pencemaran sungai dan kemusnahan hutan, sekaligus mengancam kehidupan flora dan fauna yang menjadi sumber makanan dan ekonomi mereka. Walaupun ada di antara mereka yang menoreh getah sendiri dan ada yang telah mula mengusahakan tanah untuk pertanian , tetapi bilangannya terlalu kecil lantarn pulanganya tidak mampu menampung keseluruhan keperluan hidup mereka.Untuk meneruskan survival mereka yang begitu panjang, kini ada di antara kaum lelaki khususnya generasi muda , telah keluar ke kampung-kampung bersebelahan untuk mengambil upah menebas dan meracun di kebun-kebun.Malah ada yang telah bekerja di kilan-kilang dan sebagainya di bandar-bandar berhampiran khususnya bandar Grik dan Keroh bagi mendapatkan wang untuk membeli makanan, pakaian dan keperluan lain. Namun, begitu tidak kurang juga mereka yang masih masuk ke hutan untuk mencari rebung, gaharu, rotan serta herta ubatan tradisional untuk dijual di kampung-kampung dan bandar-bandar berhampiran serta kepada peraih-peraih yang sering berulang-alik kampung mereka.