Sunday, March 22, 2009

ADAT DAN BUDAYA ORANG ASLI ( SIRI 2 )

KAUM KINTAK

1. LATAR BELAKANG

Kintak merupakan satu di antara dua rumpun bangsa Orang Asli daripada suku kaum Negrito atau asalnya dikenali sebagai Semang oleh beberapa penulis terdahulu. Kintak juga dikenali sebagai Tak, Kentok, dan Kintok. Mereka secara khususnya terbahagi kepada beberapa subkumpulan, anatara yang dikenal pasti adalah Kintak Bong dan Kintak Nakil.

Seperti rumpun bangsa Negrito yang lain, secara fizikalnya kaum lelaki dan wanita Kintak juga bertubuh rendah (anggaran lelaki 150 cm dan wanita 140 cm) dan kecil tetapi gempal. Berkulit perang gelap, kadangkala terdapat yang berkulit gelap atau perang kemerah-merahan, malahan ada yang hitam berkilat. Berambut kerinting halus, pendek (lelaki tidak melebihi 3 inci dan wanita antara 9 inci hingga 1 kaki) dan berwarna gelap atau perang kemerah-merahan. Berdahi rendah dan bulat. Berhidung pendek, rata dan kembang. Bertulang pipi agak luas dengan anak mata berwarna perang gelap atau hitam. Berdagu kecil dan bulat. Bermulut agak luas dan berbibir sederhana tebal.

1.1. LOKASI (KAMPUNG)

Orang Kintak sejak dahulukala tinggal di pinggir-pinggir hutan berhampiran dengan penempatan masyarakat Melayu atau Siam. Biasanya mereka memilih kawasan pamah berhampiran dengan sungai yang masih kaya dengan spesis-spesis tumbuhan, haiwan buruan serta ikan yang menjadi sumber makanan dan ekonomi mereka.Walaupun mereka diberitakan pernah tinggal bertaburan di utara Semenanjung, khususnya dalam wilayah dari Sungai Kerumi di Utara Grik memanjang di Simpang Empat di Baling dan melebar ke bahagian sisi garisan ini sehingga ke Air Panas di Keroh. Tetapi kini terdapat hanya sebuah penempatan tetap masyarakat ini di Semenanjung Malaysia.Penempatan yang dimaksudkan ialah Kampung Bukit Asu di Grik dalam daerah Hulu Perak, Perak Darul Ridzuan. Kampung ini kini boleh dihubungi dengan semua jenis kenderaan darat, kecuali kenderaan pacuan empat roda diperlukan dalam keadaan-keadaan tertentu. Ianya terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Grik menghala ke bandar Keroh, 20 kilometer melalui jalan utama hingga ke persimpangan lombong lama di Kelian Intan dan 5 kilometer melalui jalan tanah merah dari simpang berkenaan. Kampung ini berjiran dengan penempatan masyarakat Melayu di utara dan penempatan masyarakat Siam di selatan.

1.2 ASAL-USUL

Memandangkan wilayah kehidupan mereka terlau jauh hingga ke wilayah Chaiya di selatan Thailand, para pengkaji mempercayai bahawa masyarakat Kintak mempunyai pertalian dengan orang Negrito di Kepulauan Andaman, kaum Aetas di Filipina. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi berasaskan bentuk fizikal dan dialek mereka.Temubual dengan pembantu penghulu, Din bin Dahan serta beberapa penduduk kampung mendakwa bahawa mereka berasal dari Betong di selatan Thailand, kemudiannya berpindah ke Kubang Semang di Keroh sebelum menetap di kampung sekarang. Mereka juga mendakwa bahawa generasi tua mereka sebelum ini, termasuk penghulu mereka sekarang Penghulu Alipon bin Saad pernah bersekolah dan sering berulang-alik ke Betong. Malah terdapat di kalangan masyarakat ini mahir bertutur dalam dialek Siam.

2. SOSIO-BUDAYA

Masyarakat Kintak pengamal sistem keluarga nuklear atau sekelamin. Setiap keluarga ini mempunyai rumah sendiri. Keluarga mereka terdiri suami, isteri dan anak. Keluarga nuklear diketuai oleh suami yang berkuasa dalam membuat keputusan. Namun kuasa membuat keputusan tersebut tidak mutlak kerana suami harus mengambil kira nasihat dan pandangan isteri dan ibu atau bapa, atau mentua yang tinggal bersama mereka.

2.1 ADAT PERKAHWINAN

Di kalangan suku kaum Negrito termasuk masyarakat Kintak adat perkahwinan mereka terlalu mudah. Tidak diatur secara rasmi dan tidak diraikan. Kahwin kepada mereka memadai dengan kedua-dua pasangan membina tempat perlindungan dan tidur bersama. Ini tidak bermakna mereka mengamalkan bebas seks.Biasanya perkahwinan mereka berasaskan pilihan sendiri atau dasar suka sama suka. Perkahwinan atas pilihan keluarga amat kurang berlaku. Sering juga berlaku penceraian dan berkahwin semula dengan orang lain. Penceraian jarang berlaku selepas pasangan memperolehi anak.

2.2 ADAT KEMATIAN

Biasanya apabila berlaku kematian, sanak-saudara simati yang jauh dan dekat, penghulu serta penduduk kampung akan diberitahu. Penghulu sebagai ketua adat akan mengatur kerja-kerja pengurusan mayat dan upacara pengebumian. Bagi menghormati simati, segala kegiatan harian masyarkat pada hari berkenaan terpaksa ditangguhkan. Larangann ini jika dingkari dipercayai roh simati akan marah dan akibatnya akan ditimpa malapetaka. Mayat biasanya tidak dikebumikan pada hari kematian, kerana ingin memberi peluang kepada saudara mara simati yang jauh, hadir untuk memberi penghormatan terakhir. Pada malamnya, dirumah simati sanak saudara dan penduduk kampung akan bergilir-gilir akan menjaga mayat sehingga keesokan harinya, tujuannya bagi mengelakan mayat manusia tersebut diganggu oleh hantu. Mayat juga ditegah diumpat keji serta dilangkah oleh manusia dan binatang kerana dikhuatiri mayat tersebut akan bangkit dan mengganggu penduduk kampung.Pada keesokan harinya, di tanah perkuburan kerja-kerja menggali lubang kubur dan mencincang buluh dijalankan. Sementara itu dirumah, mayat dimandikan. Kemudian dipakaikan pakaian yang lengkap, seterusnya kedua-dua belah tangan dan kaki dibengkokkan atau dilipat ke arah hadapan badan sehingga bahagian jari-jemari tangannya berada betul-betul dibawah dagu dan kepala lututnya mencecah dada. Akhir sekali mayat dibungkus dengan kain batik lepas yang baru dan diikat kemas supaya senag diusung ke kubur.Bagi mengelakkan gangguan binatang dan sebagainya, mayat biasanya ditanam sedalam empat atau lima kaki serta mempunyai lahad. Mayat akan diletakkan dalam dan kemudian lahad ditutup dengan buluh cincang terlebih dahulu sebelum dikambus. Di atas kubur, pondok pisang sesikat dibina untuk menaunginya.Sebagai tanda sepasang kayu yang telah dijampi oleh Tok Bomoh dipacakkan di bahagian kepala dan kaki kubur berkenaan. Segala barang-barang kesayangan simati diletakan di atas kubur. Bagi mengingati simati serta mempercayai roh simati juga memerlukan makanan dan rokok (jika simati hayatnya merokok) juga diletakkan bersama. Sebelum meninggalkan kubur, bapa dan simati akan meninggalkan pesanan-pesanan yang baik kepada simati. Kenduri kecil akan diadakan pada malam berkenaan. Tujuh hari selepas itu kenduri berserta sewang secara sederhana pula diadakan. Kedua-dua kenduri tersebut bertujuan menjamu simati. Pada hari keempat puluh, kenduri dan sewang secara besar-besaran akan diadakan, tujuannya selain untuk menjamu simati juaga menandakantamat tempoh berpantang bagi seluruh penduduk kampung berkenaan. Pasangan simati dan keluarganya dilarang berhias dan bersukaria dalam tempoh berpantang selama empat puluh hari. Manakala penduduk kampung hanya dilarang bersukaria dalam tempoh tersebut.

2.3 ADAT KELAHIRAN

Dalam mempastikan ibu yang sedang mengandung sentiasa dalam keadaan sihat, untuk mengelakan komplikasi kepada si ibu semasa melahirkan dan bagi menjamin anak dilahirkan sihat serta sempurna sifatnya berbagai-bagai pantang larang serata pemilihan makanan yang sesuai yang perlu dipatuhi oleh pasangan suami isteri, sama ada sepanjang tempoh mengandung mahupun selepas bersalin.

2.3.1 SEMASA MENGANDUNG

* Pantang yang dikenakan kepada isteri:-

Pantang/Tak boleh

Akibat /Dipercayai

1. Makan pucuk paku
2. Makan pucuk labu

Kandungan dan bayi lemah

Makan ikan yang dipancing

Bibir bayi sumbing

1. Makan ikan yang berduri
2. Makan binatang bertanduk

Lekat atau susah bersalin

Makan ubi sebelum kandungan berusia tiga bulan

Kaki dan tangan menyerupai ubi




* Pantang yang dikenakan kepada suami:-

Pantang/Tak boleh

Akibat /Dipercayai

1. Panggang ikan perut di bawah
2. Panggang ikan suling-paling

Takut bayi menyongsang

Menjaring atau menjala ikan

Lekat atau susah bersalin

Memancing ikan

Bibir bayi sumbing




2.4 PERAYAAN

Tidak banyak perayaan dalam masyarakat Kintak, lantaran daripada amalan berpindah-randah yang mereka amalkan.Antara perayaan tahunan yang diraikan adalah seperti berikut:-

2.4.1 Musim Buah-buahan

Perayaaan ini diadakan apabila buah-buahan hutan telah masak. Kaum lelaki akan keluar beramai-ramai untuk mengumpul buah-buahan seperti tampoi, larah, rambutam, durian dan sebagainya dibawa pulang. Pada malamnya didakan majlis bersewang sambil menikmati buah-buahan serta makanan yang disediakan oleh kaum wanita.


2.4.2 Musim Menuai Padi

Perayaan ini biasanya diadakan sebaik sahaja kerja-kerja menuai padi.Apabila tiba hari yang telah ditetapkan kaum lelaki akan keluar beramai-ramai.Pada malamnya upacara sewang akan diadakan.Tok bomoh menjalankan jampi-serapah seraya memohon kepada penunggu kawasan agar hasil padi mereka akan bertambah pada musim-musim akan datang. Selepas menjamu selera dengan masakan mereka sendiri sediakan , mereka bersukaria hingga menjelang pagi.


3. PANTANG LARANG

3.1 Kepercayaan

Seperti kepercayaan suku kaum Negrito yang lain, secara tradisinya masyarakat Kintak juga menonjolkan lambang kuasa Tok Batin , Karei dan Cenoi. Mereka terlalu menghormati, patuh dan takut kepada ketiga-tiga lantaran kuasa mereka miliki dipercayai terlalu tinggi , luar biasa dan sifat kekal.Cenoi mempunyai kelebihan sihir dan pakar dalam kesegala kebaikan. Ia sering dirujuk oleh masyarakat dan disama tarafkan seperti tuhan atau sultan. Fungsinya mengawal masyarakat dan kemarahannya akan dijelmakan melaui petir dan kilat.


4. AMALAN KESIHATAN/PERUBATAN

Walaupun masyarakat Kintak telah menerima perubatan moden, namun kaedah perubatan tradisional seperti penggunaan khidmat bomoh serta pengambilan herba bagi mengubat penyakit-penyakit serta sebagai amalan kesihatan mereka masih dipraktikkan secara meluas.


4.1 PEMAKANAN

Mamandangkan hampir tidak wujud sebarang bentuk pertanian dalam kehidupan masyarakat ini, maka mereka juga menjadikan ubi-ubi liar seperti ubi pandang, ubi kepala gajah, ubi tanjung, ubi garam, ubi kapur dan beberapa jenis ubi lain sebagai sumber makanan harian. Protein diperolehhi daripada binatang buruan dan ikan. Mereka juga mendapatkan buah-buahan , umbat dan sayur-sayuran hutan bagi sumber vitamin. Disamping itu mereka juga mengamalkan pengambilan herba-herba tertentu untuk meningkatkan kesihatan dan sumber tenaga.


4.2 KAEDAH RAWATAN

Disamping perubatan moden, mereka juga menggunakan khidmat bomoh serta berbagai jenis herba sebagai kaedah alternatif. Antaranya adalah seperti berikut:-

Penyakit

Kaedah Rawatan

Kayap

Dijampi

Sakit kepala

Kulit tepus dilayur pada api dan dililit di kepala.

Luka

Daun kapalterbang digesek dengan tangan hingga
hancur, dipupuk atau disapu pada tempat yang sakit.

Kurap/panau

Akar lada direbus dan diminum.

Berdarah hidung

Daun sirih atau cawi digulung berbentuk kon dan
disumbatkan ke lubang hidung.

Bisul

Daun misai kucing dicelur dan ditempek pada
bisul untuk tarik nanah.

Kudis Buta

Sejenis akar berduri dibuang kulit luar dan dalam,
ditumbuk dan digosok pada kudis.

Patah terseliuh

Dijampi dan diikat dengan anduh buluh.




5. STATUS EKONOMI

Secara tradisinya, orang kintak juga seperti rumpum bangsa lain dalam suku kaum Negrito. Mereka merupakan pemburu dan pengumpul makanan. Kehidupan mereka amat bergantung kepada hasil hutan belantara seperti buah-buahan, ubi-ubi liar, keladi, tumbuh-tumbuhan binatang buruan dan ikan sebagai sumber makanan.Disamping itu mereka juga mengumpul hasil-hasil hutan sperti rotan, gaharu, herba ubatan tradisional dan sebahagiannya untuk dijual.Hanya sebilangan kecil di antara mereka mengusahakan tanah untuk aktiviti pertanian.


5.1 PEKERJAAN

Kesan kepesatan pembangunan negara turut dirasai dan sekaligus mengancam kehidupan dan menggugat ekonomi masyarakat ini walaupun mereka tinggal agak jauh di pedalaman . Bilamana penerokaan hutan untuk projek-projek tadahan air, hidro-elektrik, pembinaan lebuhraya, perusahaan pembalakan dan sebagainya menyebabkan pencemaran sungai dan kemusnahan hutan, sekaligus mengancam kehidupan flora dan fauna yang menjadi sumber makanan dan ekonomi mereka. Walaupun ada di antara mereka yang menoreh getah sendiri dan ada yang telah mula mengusahakan tanah untuk pertanian , tetapi bilangannya terlalu kecil lantarn pulanganya tidak mampu menampung keseluruhan keperluan hidup mereka.Untuk meneruskan survival mereka yang begitu panjang, kini ada di antara kaum lelaki khususnya generasi muda , telah keluar ke kampung-kampung bersebelahan untuk mengambil upah menebas dan meracun di kebun-kebun.Malah ada yang telah bekerja di kilan-kilang dan sebagainya di bandar-bandar berhampiran khususnya bandar Grik dan Keroh bagi mendapatkan wang untuk membeli makanan, pakaian dan keperluan lain. Namun, begitu tidak kurang juga mereka yang masih masuk ke hutan untuk mencari rebung, gaharu, rotan serta herta ubatan tradisional untuk dijual di kampung-kampung dan bandar-bandar berhampiran serta kepada peraih-peraih yang sering berulang-alik kampung mereka.

1 comment:

  1. Assalammualaikum, saudara ada tak maklumat orang asli semelai? Jika dapat dikongsi bersama, amat saya hargai. T. kasih anggerikmlk@yahoo.com.my

    ReplyDelete