Sunday, March 22, 2009

ADAT DAN BUDAYA ORANG ASLI ( SIRI 3 )

KAUM TEMIAR

1. PENGENALAN

Pemilihan penempatan suku Bangsa Temiar di sesuatu tempat ditentukan oleh penghulu. Ini dilakukan dengan cara 'berhalaq(jampi) atau mimipi. Tempat yang hendak didiami jauh dari tanah perkuburan, bebas daripada adanya kayu keras seperti "merbau" dan sebagainya. Mereka juga tidak membuat penempatan di kawasan berpaya(takungan air) kerana ditakuti berpenunggu. Begitu juga kawasan air terjun dan sungai besar juga tidak sesuai kerana ditakuti ada puteri sungai/lata yang akan mengganggu. Mereka membina rumah daripada kayu (selain daripada kayu jenis keras) secara bergotong-royong. Di peringkat awal penempatan, mereka membina rumah panjang. Setelah beberapa lama tinggal di rumah panjang itu, barulah mereka berpindah dengan keluarga masing-masing dan membina rumah sendiri. Mereka menyara keluarga dengan bercucuk tanam, berburu dan mencari tumbuh-tumbuh hutan.


2. SOSIO-BUDAYA

2.1 PERLANTIKAN

Jawatan Penghulu diwarisi mengikut keturunan. Penghulu biasa mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan pemilihannya dibuat melalui mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja Kampung(JKKK).


2.2 KUASA PENGHULU

Kuasa Penghulu terikat dengan adat resam dan pantang larang suku kaumnya. Beliau berkuasa mengarahkan anak-anak buahnya untuk bergotong-royong menjalankan aktiviti kampung serta merestui perkahwinan. Beliau juga bermain peranan sebagai hakim, penasihat dan penghubung dengan masyarakat dengan agensi luar. Penghulu juga mempunyai kebolehan sebagai bomoh tradisional(Halaq). Perpecahan kuasa Penghulu boleh berlaku sekiranya ada di antara keluarga yang tidak bersetuju dengan kepimpinannya. Kuasa Penghulu juga akan gugur jika beliau mengasingkan diri dengan berpindah ke pertempatan baru.


3. KEKELUARGAAN

3.1 PERKAHWINAN

(i) Adat Menunggu (Meyakinkan bakal mertua)

Bakal menantu lelaki perlu dapat meyakinkan mertua akan kewibawaannya dengan menawarkan diri untuk menguruskan kerja-kerja seharian. Ini bererti beliau mempunyai kesanggupan menanggung bakal keluarganya. Adat ini dikenali sebagai "Adat Menunggu".

(ii) Merisik

Kedua-dua belah pihak mengadakan perbincangan dan mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua pasangan. Kemudian kedua-dua pihak berjumpa Penghulu untuk mendapatkan restu dan seterusnya menetapkan tarikh perkahwinan. Majlis perkahwinan diadakan pada waktu malam. Kedua-dua pihak membawa pengiring daripada ahli keluarga masing-masing. Pihak perempuan menyediakan sebuah bilik khas bagi kedua-dua pengantin tidur bersama. Pengiring akan memerhatikan gerak laku pengantin baru dan akan melaporkan kepada kedua belah pihak. Majlis jamuan akan diadakan pada malam kedua. Pada malam itu juga mereka membakar kemenyan dan menabur bertih agar rumahtangga yang dibina sentiasa bahagia dan dijauhi daripada penyakit serta perkahwinan ini juga direstui oleh penduduk kampung. Majlis ini kebiasaannya akan diikuti dengan tarian sewang di dewan / tempat khas yang disediakan.


3.2 Kelahiran

Semasa isteri sedang mengandung kedua pasangan terpaksa mematuhi beberapa pantang larang seperti berikut:

* Suami tidak memegang alat menangkap ikan kerana dikhuatiri bayi yang dilahirkan itu nanti terlekat uri.
* Tidak boleh memancing ikan kerana dipercayai tali pusat bayi akan putus semasa bersalin.
* Memotong buluh/tebu mesti mengikut ruas untuk mengelakan bayi dalam kandungan dalam keadaan songsang.
* Tidak boleh makan kijang, ayam hutan dan ikan yang mempunyai sengat ditakuti bayi terkena 'kenan' dan menghidap sakit 'sabat'(sawan).
* Tidak boleh makan buruan yang telah ditembak kerana dipercayai kandungan akan gugur.

Ibu ditempatkan di sebuah bilik khas (biasanya di bahagian dapur). Tempat tidur disediakan dalam kedudukan condong 20 darjah untuk memudahkan ibu bersalin. Suami dan saudara-mara terdekat(perempuan) boleh turut sama duduk di sisi. Tok Bomoh dan Bidan dipanggil untuk menjampi dan membantu ibu bersalin. Mereka ini memainkan peranan sebagai 'tuhad' (penyelamat). Bidan akan menolong dan mengurut ibu sehingga bayi dilahirkan. Bidan akan balik setelah ibu 'buka pantang' iaitu seminggu selepas bayi dilahirkan. Uri bayi akan digantung di pokok dipercayai tiada gangguan.


3.3 Pantang Selepas Bersalin

Selepas bersalin ibu dan bidan akan berpantang selama seminggu. Mereka tidak boleh makan semua jenis binatang dan garam. Begitu juga kepada suami jika dia menyentuh bayi tersebut ketika dilahirkan.

Untuk mengadakan majlis ini persiapan kenduri disediakan oleh kedua pihak keluarga. Ibu dan bidan akan dihidangkan dengan makanan khas yang berlainan dari tetamu. 'Tuhad', ibubapa, mertua dan bidan akan berbincang untuk memberi nama bayi.


4. ADAT ISTIADAT

4.1 Sewang

Sewang adalah upacara menurun untuk mendapatkan ilham. Senikat lagu sewang diperolehi oleh Tok Halaq melalui mimpi. Upacara ini dilakukan pada malam hari dan berjalan selama 3 hingga 7 hari berturut-turut bergantung kepada makanan yang ada. Mereka menari dengan cara bergerak sekeliling penetas secara berpusing. Terdapat dua jenis sewang iaitu Sewang Pantang dan Sewang Umum. Setiap sewang memakan masa selama 15 minit yang dijalankan oleh 'Juru Sewang'. Juru Sewang akan berdendang hingga tidak sedarkan diri (pengsan). Mereka akan dipulihkan oleh Tok Halaq.


4.2 Sewang Kelahiran

Upacara Sewang Kelahiran dilakukan dengan memuja bayi dengan harapan bayi tersebut mendapat kebaikan apabila dewasa kelak. Bayi dijamu dengan bertih padi/jagung dan diletakan bau-bauan supaya kehidupan bayi sentiasa harmoni dan aman damai.


4.3 Sewang Kematian

Upacara ini dimulakan oleh Tok Halaq dengan membuka pantang melalui nyanyian(gabak) iaitu memuja roh simati sambil mengetuk buluh centong dengan kedudukan ruasnya ke bawah. Dalam upacara ini hanya kaum keluarga yang terdekat dibenarkan bersewang bersama Tok Halaq. Selepas upacara buka pantang selesai barulah majlis sewang dibuka kepada tetamu/orang ramai. Sewang Kematian diadakan selepas tamat tempoh berkabung (selepas 40 hari) selama 3 hingga 4 malam berturut-turut bergantung kepada bekalan makanan.


4.4 Sewang sebelum dan selepas membuka pantang

Ia dimulakan dengan nyanyian Tok Halaq memohon agar tanaman mereka mengeluarkan hasil yang memuaskan.Selepas menuai diadakan pula sewang tanda kesyukuran kerana hasil padi yang memuaskan dan terus bertambah pada tahun hadapan.


4.5 Sewang Berubat

Tok Halaq akan bersewang untuk memohon daripada penunggu supaya menyembuhkan penyakit. Pesakit terpaksa mematuhi beberapa pantang-larang yang telah ditetapkan oleh Tok Halaq.


5. BAHAN PERUBATAN

Suku Kaum Temiar masih mengamalkan perubatan tradisional dengan menggunakan akar dan tumbuh-tumbuhan berikut sebagai bahannya:

* Akar Tongkat Ali
* Kacip Fatimah
* Tunjuk Langit
* Bunga Pakma
* Pokok Dukung Anak
* Pokok Gajah Beranak
* Rempah
* Pisang Hutan
* Kulat Susu Harimau
* Akar Sempelas


6. KEPERCAYAAN

6.1 Karei / Engku

Ia dipercayai makhluk yang besar dan berkuasa yang tinggal di angkasa Karei akan marah dengan menurunkan bala jika mereka melanggar pantang dan melakukan perbuatan keji.


6.2 Penunggu

Masyarakat Temiar percaya, tempat seperti lubuk, lata, teluk, gua, bukit dan gunung ada penunggunya maka ia harus dihindari dan tidak diganggu. Mereka dilarang menegur atau berkata sesuatu di tempat tersebut krana ia akan disampuk oleh penunggu terutama bagi mereka yang lemah semangat.


6.3 Kayu Merbau

Mereka percaya bahawa teras kayu merbau boleh memanah dan kemungkinan terkena sesiapa sahaja yang lalu di situ. Terutama pada waktu subuh, senja dan ketika hujan panas serta ada pula pelangi.


6.4 Pantang Harimau

Pertemuan di antara dua orang yang telah berjanji untuk bertemu harus ditunaikan.Jika salah seorang mungkir janji, dipercayai 'Jelmaan harimau' akan datang mengganggu orang itu.


6.5 Bunga Pakma

Bunga Pakma tidak boleh dipetik kecuali "Tok Halaq". Jika terjatuh dan bergolek ketika membawanya, dipercayai ia boleh bertukar menjadi harimau (ruai).


6.6 Buah-buah Hutan

Buah Perah dan buah-buahan lain di dalam hutan hendaklah dipetik dalam sesuatu musim dengan satu upacara bergotong-royong untuk dibuat kenduri. Selepas itu baru ia boleh diambil. Jika mereka melanggar pantang berkenaan dipercayai 'ruai' buah-buahan akan mengarahkan harimau mengganggu orang lain.


6.7 Kempunan (Selantap)

Suku kaum Temiar juga percaya jika sesuatu keinginan/niat tidak tercapai maka mereka akan kempunan. Kempunan bermakna mereka akan ditimpa bala/kesusahan.


6.8 Suara Burung

Apabila burung 'Chiap Chereyet' berbunyi, ini bermakna menegur roh simati yang sedang berkeliaran. Sesiapa yang mendengar bunyi ini hendaklah mengasap badan dengan asap supaya 'badi' tidak mengganggu atau merasuk keluarga mereka.


7. AMALAN SOSIAL

7.1 Bertandang

* Tetamu hendaklah pasti ada orang dirumah sebelum bertandang. Tanpa memakai kasut tetamu boleh naik ke rumah setelah dijemput.
* Tetamu mesti menegur ketua rumah terlebih dahulu dan bertanyakan khabar.
* Tetamu selalunya menghadiahkan sesuatu kepada ketua rumah seperti rokok atau tembakau.
* Tetamu akan minta diri untuk balik dan bertanyakan pesanan untuk dibawa kepada penghulunya (jika tetamu dari kampung lain).


7.2 Adab Bercakap Dengan Mertua

Menantu lelaki tidak boleh bertentang mata dengan ibu mertua dan menantu perempuan tidak boleh bertentang mata dengan bapa mertua semasa bercakap. Mereka boleh bercakap melalui orang tengah (Orang Perantaraan).


8. ALAT MUZIK TRADISIONAL

Alat muzik tradisonal masih digunakan dalam majlis sewang dan untuk hiburan . Di antara alat muzik tradisonal mereka ialah:
* Siol(Seruling Buruh)
* Gooh(Buluh Centong)
* Genggong (Ranggot)
* Bateq(Gendang)
* Kerep(Guitar Buluh)


9. KEMATIAN

Apabila berlaku kematian, Tok Halaq akan megesahkan kematian tersebut. Berita kematian akan diberitahu kepada penghulu dan seterusnya kaum keluarga terdekat. Mayat tidak boleh dimandikan atau dibersihkan. Ia dipakaikan pakaian baru dan diselimutkan dengan kain baru, kemudian digulung dengan tikar baru dan diikat.Selepas itu, ia diletakkan di atas pengandar(usungan) yang dibuat dari buluh cincang.Sebelum mayat dikebumikan, unggun api dinyalakan di bahagian kaki atau kepala simati untuk mengelakkan roh simati mengganggu ahli keluarganya.Nyanyian 'Chinchemm'(lagu sedih) dinyanyikan semasa mengiringi mayat ke tanah perkuburan. Tanah perkuburan biasanya terletak di seberang sungai untuk mengelakkan hantu yang membawa kematian, balik. Liang dikorek lebih kurang sedalam dua meter. Semua harta kepunyaan simati akan ditanam bersama-sam mayat sementara barang-barang lama dan rumahnya dibakar. Sekiranya 'Tok Halaq' meninggal dunia, mayatnya tidak terus ditanam sebaliknya diletakkan di dalam bilik khas di rumahnya. Kaum keluarganya akan menyalakan unggun api di bawah rumah tersebut selama tujuh hari untuk mengelakkan mayat daripada diganggu oleh binatang buas. Kaum keluarga akan berpindah ke tempat baru. Dalam tempoh berkabung selama 40 hari semua aktiviti dalam bentuk hiburan diharamkam.Setelah selesai berkabung barulah majlis kenduri diadakan.


9.1 Acara Buka Pantang Kematian

Setelah tamat tempoh pantang selama 40 hari, diadakan pula 'Acara buka Pantang Kematian'. Tiga hari sebelum upacara ini dijalankan, Kauam keluarga dijemput berkumpul semula dengan tujuan untuk mengumpulkan bahn makanan bagi majlis kenduri. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama menguruskan penyediaan makanan dan kumpulan kedua menyediakan tempat bersewang. Tempat sewang akan dihias dengan pucuk 'calon' buah kepala (palas) untuk dijadikan seludang palas(Tempok Kuar) dan bunga.

5 comments:

  1. salam, sy rasa blog ini lebih menarik sekiranya diletakkan gambar-gambar alat muzik tersebut.lebih mudah sebagai bahan rujukan.terima kasih.

    ReplyDelete
  2. ya..namun begitu,perkampungan orang asli di kelantan iaitu di gua musang juga boleh dijadikan salah satu contoh petempatan mereka.

    ReplyDelete
  3. BAGUS MELALUI BLOG INI SAYA DAPAT BELAJAR BANYAK TENTANG KAUN ORANG ASLI YANG SANGAT UNIK................:)

    ReplyDelete
  4. aslkm tuan blog. mohon utk dijadikan rujukan kajian yer

    ReplyDelete